Pages

Feb 14, 2019

Sempurna diciptakan




Sewaktu saya menghampiri simpang tiga sebelum masuki taman rumah, kelihatan anak² khas jalan beramai-ramai berbarisan. 

Saya perlahankan kelajuan, berhenti tepat sebelum memberi isyarat kelok kanan. Sekitar 12 orang semuanya. Yang paling kecil dua orang setahun dua usianya barangkali. Dan keduanya dikendong guru lelaki. 

Sebahagian anak² ini dipimpin guru lelaki tadi. Dan sebahagian berbaki dipimpin guru wanita yang penuh keibuan rias wajahnya. 

Saya ekori derap langkah mereka dengan pandangan mata. Terkenang sesuatu.. 

---
Beberapa bulan yang lalu, saya memberi ceramah pergigian dan latihan memberus gigi (LMG) kepada kelas pendidikan khas di sebuah sekolah nun pedalaman kampung. 

Saya kira suasana yang tidak asing, bila saya bercakap ada yang sampuk menyampuk - saya tidak meningkah dan saya cuba raikan. Hatta sehingga selepas habis LMG mereka masih mengerumuni saya bertanya itu ini ehwal gigi meskipun sudah ditanya dan dijawab berulang kali - saya tidak meningkah dan saya cuba raikan. Sehingga guru kelas seru memanggil, baru lah mereka bubar. 

"Maaf lah Dr., dengan kelakuan pelajar tadi", seorang guru pembantu jalan mengiringi. 

"Tak apa Cikgu. Saya ok je. Kagum saya dengan guru² PDK.. Pasti sangat ihsan dan sangat sabar". Saya puji setulusnya. 

Guru tadi tersenyum, "Iya betul, kami perlu ada rasa ihsan.. Sebab kadang ada dalam kalangan anak murid kami ni, orang tua nya sendiri tidak mahu peduli. Maka, kami lah yang perlu peduli." 

Terangkat dua kening saya, pandang tepat pada guru tersebut, 'like seriously, kenapa cikgu cakap gitu, depa ni dihantar sekolah mestila sebab parents depa care!'

Seakan mendengar gumam hati, guru mencuit lengan dan menunjukkan jari ke arah seorang pelajar. 

"Dr tengok budak tu, mak bapak lepas tangan dari lahir tinggalkan dengan mak cik nya. Tapi mak cik nya pun tak berkenan bela... Baju sampai seminggu tak bertukar. Datang tak mandi. Kami lah yang uruskan mandi, beri salinan baju ganti di kelas. Entah macam mana pula makan minum di rumah dia sebenarnya." 

Saya memandang hiba pelajar itu. 

---

Dan rasa itu bertandang kembali bila melihat anak² istimewa ini yang jalan berbaris-barisan sebentar tadi. 

Kita yang sering mengeluh atau rasa "tidak sempurna" kehidupan, wajar sisihkan keluhan seumpama itu. Kerana ternyata banyak yang perlu kita syukuri - walau cuma syukuri sejak lahir hingga hari ini aku sihat dan sejak lahir hingga hari ini aku masih ada yang peduli sayang. 

Percayalah pasti kita akan rasai sudah cukup sempurna kehidupan diri yang Tuhan beri. Maka nikmat mana lagi yang kita nak nafi? 

---

Sebaik sahaja parkir kereta di hadapan rumah, saya pasang mimpi : 

(Ya Allah aku nak kaya. Nak bantu anak² ummah terutama dari kalangan mereka yang kurang berkemampuan.. Bagi ruang pendidikan yuran murah supaya penjaga mereka tidak susah hati dan berkira² pendidikan anak, bagi mainan best² untuk anak² ni girang, bagi buku² best agar mereka teruja. Ya Allah,.. Meskipun yuran murah tapi aku boleh bayar gaji cikgu² yang berjiwa besar ni tinggi setimpal dengan kebaikan yang mereka curahkan dan semoga anak² cikgu ni teladani nanti mak/bapa mereka yang tidak lokek berkongsi sayang.) - 

Spontan.. Sebab mimpi kan percuma.

Nov 23, 2018

Bangun Bangkit


"Saya kecewa la Dr.."
Saya acah-acah senyum.

"..bertahun saya ikhtiar nak hamil, tapi jadi macam ni pula. Lebih merisaukan bila dalam masa yang sama saya suspected Tibi. Lepas satu, satu satu masalah datang," 

Intonasi suaranya mula rendah tetapi kalimahnya jelas ditekan sepatah demi sepatah.

Saya acah-acah senyum. Sekali lagi.
Jauh dalam hati, sayu mendengarkan situasi yang sedang dialami tetapi saya mati kata untuk memujuk apa.

"urm.. Allah tahu, Puan kuat." 
Lulzz. Saya sumpah serapah diri atas ucapan spontan yang terpacul..Awkward.

"heh, saya tak kuat Dr.."
Saya acah-acah senyum. Kesekian kalinya.

Dalam setengah minit jeda suara hati saya meleteri diri ; Padan muka kau, kan jangan memandai-mandai terlajak kata. Boleh jadi seakan kita memaksa dia saling 'bertukar kasut' hingga sakit untuk dia sarungkan kakinya pada kasut kita (and vice versa)

Saya merenungi lantai klinik, kembali bertanya dalam diri ; dalam kekosongan sendiri, apa kata-kata untuk naluri hati ?

"Puan, Allah yang datangkan ujian masalah ini khusus kepada Puan.. sebab Allah tahu Puan mampu dan kuat." 
--
Selepas seminggu dari perjumpaan pertama, semalam kami bertemu kembali untuk next tentative txp.

Sebaik sahaja beliau menguak pintu surgeri, dilambaikan buku pink kepada saya,

"Dr., terima kasih, Alhamdulillah!"
-----
Kadang, satu mehnah yang kita depani jadi satu peluang untuk episod kehidupan yang lebih baik Allah nak beri.. cuma tak tahu bila je scene happy tu akan berlaku.. ; lepas another dua tiga plot klimaks ke atau entah bila.

Thus, note to myself

اسْتَعِينُوا بِالصَّبْرِ وَالصَّلَاةِ

#dongibap

Jun 22, 2017

Ramadhan Mesir




Bulan Ramadhan adalah antara sesuatu yang dinanti-nantikan sewaktu saya di Mesir.
Bahang kemeriahannya sudah terasa seawal Rejab dan Syabaan dengan serangkap doa (اللهم باركلنا فى رجب و شعبان و بلغنا الى رمضان) dan amalan sunat berpuasa yang sering diperingatkan secara langsung atau tidak ; antaranya melalui corong radio, poster yang ditampal tempat awam, ingatan para pensyarah di kuliyah dan kadang kala dari tegur sapa mak cik pak cik masjid, teksi atau kedai.
Nah, bila fanus mula digantung-gantung di serata kedai terutamanya Habbash Market dan bila Maktabah I'lam keluarkan poster kata-kata (taujih) / goodies khusus sempena Ramadhan lagi-lagi lah melonjak girang menanti ketibaannya.

Apa yang Ramadhan Mesir ajar adalah inilah bulan untuk "beri & lumba".

-Memberi khidmat mengejutkan komuniti setempat untuk sedia sahur dengan gendang yang dipalu.
➡ jadi alarm bangun cuma selalunya jadi alarm "weih kita tak tidur lagi la rupanya".

-Memberi juadah berbuka dengan apa yang ada kepada yang masih di luar rumah ketika azan.
➡pernah sekali sengaja ke souq sayarat time azan dapat tamar bi laban dengan roti.

-Memberi sedekah tanpa berkira-kira bila dan berapa.
➡Ikin yang selalu dapat.

-Memberi masakan makanan secara terbuka untuk sesiapa yang mahu.
➡First Ramadhan dengan zauji setiap kali balik solat asar dari masjid ada ammu bagi set ifthor di bawah imarah dan kadang ambil di bawah PTI. Memang 30hari gantung kuali.

-Memberi bacaan solat yang terbaik hingga jiwa turut terbawa-bawa dengan mukjizat kalam-Nya.
➡Masjid Amru yang sangat dirindui 😭

-Memberi ruang dan layanan yang mesra untuk iktikaf di masjid meski ada anak kecil bersama.
➡Masjid Bilal yang sangat mesra-welcoming-warming, toilet dekat, kedai dekat, rumah dekat 😁

Lumba?
Perlumbaan memberi kebaikan inilah yang diajari. Kita bukan berlumba menyaingi orang lain atau sesiapa..
Tetapi kita berlumba dengan diri sendiri, bersaing dengan diri kita yang semalam hari ini dan esok; pastikan kebaikan diri sentiasa lebih kehadapan dari hari-hari yang lalu.
Seperti itulah mafhum pesanan junjungan mulia Rasulullah SAW kita : 'tangan yang memberi itu lebih utama' & 'seorang mukmin itu bukan dua harinya sama.'


---
sumber gambar : IG everydaycairo, IG sendiri

May 12, 2017

Uzlah JS




Banyak yang dirindukan.

Antara yang menjadi kenangan adalah, moment ini..

Bila menyidai pakaian atau menanti naik bau tumisan, saya akan melilau perhati seisi taman.

Selalu terhibur lihat telatah kucing dan anjing yang menyinggah.
Selalu ralit lihat aneka burung yang mencicip rezeki.
Dan selalunya sejuk pandangan mata tatap kehijauan yang ada.

Bila keluar dari rumah, pandangan ini lah yang bisikkan aura optimis melangkah.

Bila pulang ke rumah, pandangan ini lah yang sambut hilangkan kusut dan lelah.

Kalau terkunci di luar rumah.. Pandangan ini lah yang pujuk sikit jangan angin marah-marah. *Hihihi*

Apalah yang ada pada sebuah rumah yang terletak di tingkat lima dan mengundang mengah bila mendengar 'fouq kholis' (yang paling atas sekali) , hingga membuatkan kami berkira-kira untuk tidak berpindah?

Selain kerana jiran tetangga yang berbudi dan tuan rumah yang baik hati, kerana pemandangan taman ini lah ; yang tiada galang ganti di mana-mana tawaran rumah sewa Bawabah (nama mukim kawasan perumahan kami)

--

"Tak selalu harus ke tempat yang benar-benar jauh mahupun benar-benar sepi. Yang utama adalah mengambil waktu untuk jiwa bermesra dengan Rabb semesta.

Sebagaimana kata dalam kalimat diberi jeda, agar lebih jelas dan tegas dalam maknanya."
-SAF

--
p/s : menghitung hari Ramadan kembali, moga Allah menuntun jiwa kita melaluinya tanpa sesal dan rugi

Dec 31, 2016

Memorable Beit Rasya




Ada satu peristiwa di Mesir yang setakat ni menjadi ingatan saya pada setiap penutup tahun @ pembuka tahun baru.

Menjadi kebiasaan, sebahagian yang menggumam dalam diri, akan tercatat secara harfi tulisan pena di dalam buku khas. Lewat malam itu, yang menjadi gumam-gumam hati adalah..

"Bagaimana cara untuk akhowat serumah boleh 'blending' one another?"

Sedang asyik berteleku di atas meja, tiba-tiba kedengaran bunyi letupan. Sejurus selepas itu pintu dikuak oleh ukht dari bilik sebelah dan asap berkepul keluar.

Saya panic, "eh kenapa ni?"

"Almari ana terbakar", sambil ukht pantas membuka jendela bilik study dan keluar meluru ke tandas mencedok air.

Asap berkepul-kepul, lemas. Bilik gelap, hanya yang kelihatan api marak makan almari.

Saya mengejutkan ahli rumah di bilik yang lain. Kami berusaha padamkan api - tangan gigil kesejukan dengan bergayung-gayung air. Namun api masih tidak mengalah. Akhirnya seorang ukht mengangkat bekas air besar tadahan dan terus bah menjirus.

Api kalah. Padam.
Tapi. Bilik banjir - karpet, tilam, Saratoga lencun.

Kami putuskan untuk bersihkan air yang banjiri bilik pada malam itu juga. Sekali lagi kami berenam bersama redah kedinginan syita' lewat malam. Sisa makanan api kami buang, karpet dan tilam yang lencun kami angkat ke luar balkoni dan sidai. Lantai bilik yang bertakung, kami sedaya upaya keringkan. Dinding yang hitam kami sental.

Untung malam panjang, dapat kami lelap mata dan hilangkan lelah beberapa jam sebelum subuh menjengah.

Esok nya.. Kami menahan telinga mendengar leteran baba (tuan rumah) yang berjiran setingkat atas dari rumah kami. Disangkanya, kami sengaja bermain-main api 😒

Sehinggalah sampai limit kami sabar dengan lemparan leteran nya dengan menjawab;

قدر الله ما شاء فعل

Barulah dia diam dan akur simpati.

--

Itulah peristiwa yang menjadi peringatan buat saya secara peribadi pada saban akhir & awal tahun semenjak di Mesir ni.

Gumam hati yang terjawab, barangkali;
Peristiwa yang daripadanya kami saling bertakaful, saling bertafahum dan membuka lagi moment sisi untuk saling bertaaruf.

Mula 'blend' senang kata

--

Ada waktu (bahkan sering kali), cara Allah swt menjawab hajat dan pinta kita; melalui keadaan yang bermula dahulu dengan adu dan tangis air mata kita.

Kita pinta cemerlang belajar ; tapi kesusahan soalan exam, durr thani, sistem pembelajaran, kejerihan hunting pesakit untuk requirements, tabungan duit yang semakin nipis dsb yang kita depani.

Kita pinta kehidupan solehah hasanah ; tapi sering dalam kesibukan tuntutan usrah, persimpangan istisyar istikzan dengan kemahuan, tahammul karenah akhowat serumah dsb yang kita alami.

Kita pinta kuat nasyat thabat ; tapi isu keadaan semasa, masuliyyah amal yang bertimpa-timpa, ragam anak buah, kekangan kesempitan kewangan, kesempitan masa dsb yang silih ganti kita hadapi.

Segala apa yang pahit sedang dijamah, jangan sesekali hilang asa dalam hajat dan pinta pada Nya.

Adu dan bertangis air mata lah dalam doa dan renungan kita pada Nya. Apa yang kita hajati dan pintakan akan di-istijabah dalam lipatan masa terbaik, yang hanya Dia tahu bila.

Itu kan janji Nya.
*Ghafir : 60
*alHaj : 78
*alInsyirah : 5-6

#ayyamyaumi_masr

Dec 22, 2016

Jadi Kuat








Sentuhan tarbiyah itu mahal.

Mahal kerana apa ?

Kerana tidak semua merasainya. Apabila sekali merasa, jaga lah ia. Pelihara dengan hemat dan cermat. Kerana kelak, ia kan memberi makna buat kita di alam baqa sana. 

Antara nikmat yang membuah dari rasa tarbiah adalah ukhuwwah islamiah. Ikatan ikha (persaudaraan) yang terjalin atas dasar akidah semata. 

Peliharalah nikmat ikha atas jalan tarbiyah ni dengan hemat dan cermat. Kerana ia antara kekuatan untuk kita hidup sehingga ke syurga. Nikmat yang dengannya Allah SWT banyak janjikan genjaran, syafaat dan kelebihan darjat. Kerana nikmat ikha inilah juga kita akan dalam linkungan mereka yang cintakan hidup mulia dan dambakan syahid. 

Jangan berlari keluar. 

Sekali kita lari, kita tidak tahu apakah kita digerakkan hati untuk kembali. Ada yang malu. Ada yang tawar hati. Semua urusan hati, sungguh dalam urusan tadbir Ilahi. 

Jangan berlari keluar.

Jadilah mukmin yang kuat ; yang memelihara dan menjaga apa yang bermanfaat untuk dirinya. 

Bergandingan dan membahu lah bersama. Jika tidak mampu dalam langkahan yang cepat, tetap lah pada tujuan yang sama bersama meski dengan berjalan perlahan. Kerana itu sudah cukup bermanfaat buat diri kita. 

--

Dari Abu Hurairah Radhiyallahu ‘anhu , beliau berkata, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda ;

Mukmin yang kuat lebih baik dan lebih dicintai Allah Azza wa Jalla daripada Mukmin yang lemah ; dan pada keduanya ada kebaikan. Bersungguh-sungguhlah untuk mendapatkan apa yang bermanfaat bagimu dan mintalah pertolongan kepada Allah (dalam segala urusanmu) serta janganlah sekali-kali engkau merasa lemah. Apabila engkau tertimpa musibah, janganlah engkau berkata, "Seandainya aku berbuat demikian, tentu tidak akan begini dan begitu", tetapi katakanlah, "Ini telah ditakdirkan Allah, dan Allah berbuat apa saja yang Dia kehendaki", karena ucapan "seandainya" akan membuka (pintu) perbuatan syaitan.

--

foto : memori Ijtima Soifi ISMA-Mesir 2013