Dec 13, 2010

Hijrah ini.

Daripada Abu Said al-Khudri r.a. bahawasanya Nabi S.A.W bersabda, “Pada zaman dahulu ada seorang lelaki yang membunuh 99 orang. Kemudian dia ingin bertaubat. Dicarinya seorang yang paling alim. Lalu ditunjukkan kepadanya seorang ahli ibadah. Dia menyatakan bahawa dia telah membunuh 99 orang. Adakah dia boleh bertaubat? Jawab ahli ibadah itu, “Tidak!”. Lalu dibunuh pula ahli ibadah itu. Kini jumlah orang yang dibunuhnya berjumlah 100 orang.
Kemudian dia mencari orang yang paling alim, maka ditunjukkan kepadanya. Maka beliau menyatakan kepada orang alim itu bahawa dia telah membunuh 100 orang. Apakah dia boleh bertaubat? Jawab orang alim tersebut, “Ya! Sesiapa yang berhajat bertaubat tiada sesiapa yang boleh menghalangnya berbuat demikian. Pergilah kamu ke suatu tempat (diterangkan sifatnya di mana terdapat orang-orang yang taat kepada Allah S.W.T). Beribadahlah bersama mereka dan janganlah kembali ke negerimu kerana negeri itu tempat penjahat.”
Maka orang itu pun menuju ke sana. Dalam perjalanan itu dia telah mati mengejut. Maka berlakulah pertengkaran antara Malaikat Rahmat dan Malaikat Azab. Kata Malaikat Rahmat, “Dia datang untuk bertaubat kepada Allah SWT dengan sepenuh hatinya.” Kata Malaikat Azab pula, “Sesungguhnya dia belum pernah langsung melakukan kebajikan.” Lalu datang pula kepada mereka malaikat yang berupa manusia sebagai hakim antara mereka. Lantas hakim itu berkata, “Ukurlah antara dua negeri itu, manakah yang lebih dekat kepadanya, ia adalah untuknya.” Maka mereka mengukurnya dan didapati bahawa yang hampir kepadanya ialah negeri yang dituju. Lantas Malaikat Rahmat menyelamatkan rohnya.” (Hadis riwayat Muslim)

Saya tertarik dengan kisah ini, kerana pengajarannya yang halus. Di satu sisi, kita dapati bahawasanya Rahmat dan Maghfirah (keampunan) Allah swt semamangnya Maha Tinggi. Berdasarkan pada niat pemuda yang mahu bertaubat itu, maka Allah menyambutnya dengan keampunan dan melenyapkan dosa jenayah pembunuhannya sebanyak 100 kali yang dilakukan. Di sisi yang lain, kita dapati bahawa pemuda itu punyai keazaman dan kesungguhan yang tinggi. Bahkan, sewajarnya kita, di dalam memohon pengampunan Allah swt perlu pada kesungguhan dan bukan main-main, hangat-hangat tahi ayam. Pengajaran lainnya, saya terkesan dengan ‘statement’ ulama’ kedua yang menyarankan si pemuda berpindah menuju ke tempat yang punyai mujtama’ (masyarakat) yang baik dan soleh. Atau boleh juga dikatakan berHIJRAHlah…

+++

Kini, di Mesir, musim sejuk semakin ‘mezahirkan’ dirinya. Dua hari yang lepas, angin galak bertiup dan cuaca mendung berkabus. Dan dari hari ke hari, suhu semakin rendah. Dr. Khaleed Dabbour, pensyarah dental terminology telah mengajarkan kami kalimah ‘Subhanallah’ di atas iradah Allah swt yang Maha Mengaturkan alam ini serta mengajak kami tadabbur ayat ke-18 dari surah an-Naba’. Subhanallah. Sememangnya, tatkala mendengar siulan bunyi desiran angin yang kencang terdetik di hati, bagaimanakah pula bila sangkakala ditiupkan ? Bersedia sudah mendepani Ilahi ? Kerana, bukankah kita, dari hari ke hari semakin menghampiri pada kematian yang telah ditetapkan ?

Kini, umat Islam seantero dunia berada di Muharram, tahun 1432H. Ini mengingatkan saya kepada sirah nabawiyyah semasa hijrahnya Baginda saw ke Madinah. Bila kita menelusuri perjalanan hijrah Baginda saw bersama Saidina Abu Bakar asSiddiq, sememangnya bukanlah mudah. Bandingkanlah penghijrahan Baginda saw dengan perjalanan hari ini ke Madinah. Bayangkanlah tika Rasulullah saw keluar dari rumahnya, dan pada masa yang sama pihak Quraisy sedang mengepung rumah tersebut. Bayangkanlah saatnya Baginda saw dan Saidina Abu Bakar mendaki Gua Thur, bayangkanlah kesempitan dan bahayanya gua tersebut, bayangkanlah debaran hati Saidina Abu Bakar tatkala mendapati bahawa pihak Quraisy berada di muka gua tersebut, bayangkanlah beratnya hati meninggalkan tanah air sendiri. Bayangkanlah perjalanan yang sedang diburu musuh dibelakang dengan pedang terhunus di tangannya. 

Pelbagai mehnah (cabaran) tetapi inilah lembaran kemenangan Islam. Dan akhirnya hari ini, kita merasa kemanisan sebagai seorang muslim dan kerahmatan sebagai hamba pada Rabbul’Alamin. Maha Suci ALLAH yang menggantikan kepayahan Baginda saw dengan kemenangan demi kemenangan.

**

Saya hanyalah manusia biasa yang tak lari dari diuji dan saya hanyalah manusia biasa yang punya emosi. Kadang-kadang, di dalam penghijrahan saya ke Mesir ini, terasa payah juga. Rasa kehilangan juga.  Rasa duka juga. Cuma, bila dibandingkan dengan mehnah yang dihadapi oleh Baginda saw, malu rasanya. Rasulullah saw adalah qudwah, dan sewajarnya saya berusaha ikuti.


Moga-moga rasa payah-kehilangan-duka ini, Allah swt gantikannya dengan kemenangan demi kemenangan. Baik buat diri atau buat ummah, baik dalam masa terdekat atau masa yang lain, baik di muka dunia atau di alam abadi,  kemenangan demi kemenangan. Insha-Allah, amiin.


“Wahai anakku, laksanakanlah solat dan suruhlah (manusia) berbuat makruf dan cegahlah (mereka) dari yang mungkar dan bersabarlah terhadap apa yang menimpamu, sesungguhnya yang demikian itu termasuk perkara yang penting” [Luqman : 17]

+++

Dia menjadi inspirasi saya berusaha kepada qawwamah (orang yang berqiamullail) dan sowwamah (orang yang berpuasa). Dia mengajarkan saya hidup bererti dengan memberi dan dia tak pernah lupa mengingatkan saya agar sentiasa mengingati Allah swt dalam apa jua suasana. Semenjak saya menginjak usia remaja  hinggalah saatnya saya berangkat ke Mesir. Dia tak pernah lupa mengingatkan saya. Sungguh, moga-moga Allah swt menempatkannya bersama golongan yang soleh dan muttaqin di Jannah.

Al-Fatihah buat nenenda tercinta ; Marliah Jamiri, yang telah kembali ke Rahmatullah pada 11 Dis. 2010 jam 9 malam (waktu Malaysia).

Cukuplah, maut itu menjadi peringatan.

3 comments:

(f) said...

semoga akak terus kuat dan kuat seperti srikandi2 dahulu . InsyaAllah . salam takziah juga buat keluarga akak . setiap yg bnyawa pastinya akan mati . kena waspada takut lepas ni giliran kita kn ?

semoga akk gembira selalu disana . :))

-teah-

Anonymous said...

rabbuna yusahhil ya ukhtie<3

|makhlukDIA| said...

salam hijrah tqaa~ :)