Alam mengajar kita sesuatu ; dalam pergantian siang dan
malam.
Apabila matahari condong ke barat, siang yang cerah
berganti kermizi merah-merah. Makin lama, makin gelap. Apabila Isyak, langit sepenuhnya
gelap. Seterusnya, bila menginjak ke tengah malam, makin gelap kelam.
Tetapi kita tahu. Sesuatu yang pasti ; selepas gelap malam
yang kelam, sinar fajar akan menyingsing kembali.
Seerah membuktikan kita sesuatu ; dalam siri-siri perjuangan
Islam.
BADAR peperangan pertama di dalam lipatan Islam. Bilangan
313 depani 1000 tentera musyrikin. Terasa menyakitkan kerana kaum muslimin sangat
kecil kuantitinya dan perlu depani ayah, anak dan kerabat di pihak musyrikin. Menyakitkan
sekali rasanya. Hinggakan bergetar Baginda berdoa sehingga kain serbannya jatuh
menyembah tanah !
Tetapi UHUD jauh lebih menyakitkan. Kaum muslimin merasakan
pahitnya kalah sesudah bibit menang, mendengar khabar terbunuhnya Rasulullah
SAW, mendapati gugurnya 70 sahabat dan luka yang menimpa Baginda SAW ;
berdarah-darah dan rongaknya gigi. Sangat menyakitkan, bukan ?
Kemudian KHANDAQ pula, yang jauh lebih-lebih menyakitkan. Quraisy,
Ghatfahan, Yahudi dan semua kabilah pagan Jazirah bergabung menjadi satu
kekuatan untuk melumatkan Madinah. Jadi, kaum muslimin perlu cepat menggali
parit sebelum ketibaan musuh.
Penggalian parit inilah, merupakan saat-saat yang sulit.
Mereka mengerat keringat dalam keadaan perut kelaparan dan bekal makanan
terhad. Dalam misi penggalian tersebut, satu tika, sahabat terhalang oleh tanah
yang sangat keras. Begitulah yang al-Barra’ Bin Azib khabarkan. Kemudian, para
sahabat pergi mendapatkan Rasulullah SAW.
“Bismillah”
Baginda ayunkan cangkulan pertama dan menghentam ke atas
tanah keras itu hingga muncul percikan api.
“Allahu Akbar ! Aku diberi kunci-kunci Syam. Demi Allah aku
melihat istana-istananya yang bercat merah saat ini,” begitulah sabda Nabi SAW.
3 hentaman ke atas tanah keras, telah meleraikan ketakutan
maha dahsyat para sahabat. Kerana Baginda SAW meyakinkan mereka dengan janji
pemilikan Syam, Persia dan Yaman buat umat Islam.
“Ada-ada sahaja Nabi kita ini”, ngomel si munafik.
“Bagaimana dia boleh cerita jauh-jauh tentang Syam, Persia
dan Yaman. Padahal, hendak buang air di rumah sendiri pun, tidak memungkinkan !”
Nah, bertambah lagi sakit ; menahan telinga mendengar
kalam-kalam munafiq ketika itu. Sungguh memeritkan apa yang kaum muslimin
depani.
14 Ogos 2013, Mesir.
Seuatu yang diluar jangkaan ; pembantaian besar-besaran pihak tentera (baca: thaghut/kebatilan) atas masyarakat Mesir. Khususnya, buat para
pejuang Islam. Ribuan terkorban. Ribuan cedera. Kerosakan. Pembakaran masjid, hospital
dan mayat !
Hanya dalam satu tempoh masa yang singkat !
Pada saya, semenjak revolusi 25 Januari hingga ke saat hari
ini, pembantaian 14 Ogos merupakan pembantaian yang paling melampau !
Ironinya, tekanan dan bantaian pihak tentera tidak sedikit
pun membibitkan takut dan lemah buat para pencinta al-Haq (kebenaran) Mesir.
Mereka semakin ramai yang turun dan berkumpul nyatakan kebersamaan, mereka
semakin ramai bersatu dan saling membantu di medan, mereka semakin rindu
menagih kesyahidan.
Meskipun kita tidak nafi, tetap ada suara sumbang yang
perlekeh tindakan para pencinta kebenaran ni dan menyalahkan mereka ; kononnya
merekalah punca huru-hara. Juga, pada perkiraan sesetengah pihak sudah tiada tanda-tanda kedamaian atau penyelesaian buat Mesir.
Tetapi buat para pencinta kebenaran, semakin kuat tekanan
yang dikenakan, semakin teguh iktikad keimanan ! Mereka semakin mara dan
meninggalkan golongan yang berkubang dalam lumpur keraguan.
وَلَمَّا
رَءَا ٱلۡمُؤۡمِنُونَ ٱلۡأَحۡزَابَ قَالُواْ هَـٰذَا مَا وَعَدَنَا
ٱللَّهُ وَرَسُولُهُ ۥ وَصَدَقَ ٱللَّهُ وَرَسُولُهُ ۥۚ وَمَا زَادَهُمۡ
إِلَّآ إِيمَـٰنً۬ا وَتَسۡلِيمً۬ا
Dan
pada masa orang-orang yang beriman melihat tentera Al-Ahzaab,
berkatalah mereka: Inilah yang telah dijanjikan Allah dan RasulNya
kepada kami dan benarlah (apa yang telah dijanjikan) Allah dan RasulNya
dan (angkatan tentera musuh yang mereka lihat) itu tidak memberi
sebarang kesan kepada mereka selain daripada menambahkan iman dan
penyerahan diri mereka bulat-bulat kepada Allah
-Alahzab : 22
Buat para pencinta kebenaran, mereka teguh nyatakan ;
"Keadaan semakin gelap, maka sinar fajar akan tiba ! Kita semakin ditekan,
bererti kemenangan dan bantuan Allah dekat nian ! Allahu Akbar !"
Kita di mana ?
Alam telah mengajarkan dan seerah telah membuktikan.
Inilah sunnatullah (ketetapan Allah) yang akan dirasai oleh
setiap jiwa yang akui selaku pejuang kebenaran.
Dan hari ini, Mesir, Palestin, Syria dan beberapa negara
Islam yang lain telah mengesahkan ; sunnatullah ini akan turut dirasai oleh
mereka yang cita-citakan kedaulatan Islam di muka dunia.
Tanyakan semula pada diri kita, duhai pencinta kebenaran ;
Apakah masyarakat sekeliling kita, bersedia depani sunnatullah ini ?
Apakah jiwa kita sudah bersiap-siapa untuk sunnatullah ini ?
Yang entah, kita tidak tahu bila kecuali al-Alim azza wa jalla.
"diperlukan suatu hentakan yakin
yang akan melahirkan
keberanian, keteguhan dan kesabaran
bertolak dari jaminan yang tak pernah lapuk"
-Rahmat Abdullah
--
Glosari :
- 'Ibroh : Pengajaran
- Sunnah : Ketetapan/Aturan
Rujukan :
1- Jalan Cinta Para Pejuang, Salim A.Fillah
2- FB Page : Pilihanraya Mesir
3- Mosaaberising Flickr
No comments:
Post a Comment