وَمَا خَلَقْتُ الْجِنَّ وَالْإِنسَ إِلَّا لِيَعْبُدُون
“dan tidaklah Aku menciptakan jin dan manusia melainkan agar mereka beribadah kepada-Ku"
(AdzDzaariyaat 51 : 56)
Peranan asasi buat seorang muslim di dalam hidup ini adalah beribadat kepada Allah SWT. Keluasan Islam mengajari kita bahawa erti kata 'ibadah' tidak terbatas pada kefardhuan solat, puasa, zakat dan haji - bahkan bukti ubudiyyah (ketundukan) kita pada Allah SWT juga adalah bilamana kita niatkan setiap tingkah laku kehidupan kerana Allah ; meskipun dengan hanya meneguk secawan air !
Justeru, setiap muslim wajarlah berusaha menjadikan segenap sisi dan urusan hidupnya sebagai jalan untuk mendekatkan diri kepada-Nya. Maka beruntunglah buat setiap jiwa yang menjadikan urusan perkahwinan dan pembinaan keluarganya sebagai manifestasi ubudiyyah diri kepada Yang Maha Esa.
Sebermula daripada membulatkan tekad atau niat ber-baitul muslim, memilih calon, mempersiapkan bekal menujunya, melafaz ikrar janji setia hinggalah pada membentuk suluk anak-anak dan keturunan kelak ; segalanya menjadi amal ibadah yang sangat bernilai selagi mana diletakkan Allah sebagai tujuan.
Andai teruji dengan sedikit mehnah (ujian) dalam merealisasikan rumahtangga idaman, yakinilah kebersamaan Allah sentiasa. Kerana selagi mana kita sidq (benar) atas niat sebuah perkahwinan, pasti ditunjukkan jalan mengemudi kehidupan berkeluarga pada-Nya.
Inilah rumahtangga Islam kita.
Ustaz Mustafa Masyur di dalam buku Jalan Dakwah ada menjelaskan bahawa ;
"Rumahtangga muslim yang sejati menurut tabiat dan logiknya mesti menjadi pusat dakwah Islam. Setiap anggota keluarga yang akil baligh wajib menjadisahibud-dakwah - pendokong dakwah, menyeru rumahtangga dan keluarga sekitarnya kepada Allah dengan penuh kesabaran, dengan hikmah dan nasihat yang baik.
Kita menghendaki rumahtangga muslim ini sebagai rumah cahaya yang memberi hidayah dan petunjuk kepada orang-orang yang di sekitarnya. Menghapuskan, memusnahkan segala kegelapan di sekelilingnya dan menyinari jalannya untuk di lalui oleh mereka. Maka dengan bertambahnya rumah-rumah muslim seperti ini akan sambung menyambunglah daerah-daerah yang bercahaya dan bercantum di antara satu sama lain sehingga mampu menyinari masyarakat.
Maka dengan itu keperibadian Islam mampu menyinari masyarakat dan memimpinnya di bawah naungan Islam. Kemuliaan mudah dikembang-biakkan dan kejahatan mudah dihapuskan. Barulah mudah dibentuk dasar dan asas keimanan yang bersih sebagai asas bangunan Islam dan pemerintahan Islam dan seterusnya al-Khilafah al-Islamiah al-Alamiah.”
Maka selaku seorang muslim yang sedar dan selaku du'at khususnya ; genggamlah dengan erat bahawasanya inilah keluasan hayat dalam nafas ubudiyyah seorang Muslim dan inilah tiang seri rumahtangga Islam yang kita asaskan.
No comments:
Post a Comment