Pages

Feb 14, 2019

Sempurna diciptakan




Sewaktu saya menghampiri simpang tiga sebelum masuki taman rumah, kelihatan anak² khas jalan beramai-ramai berbarisan. 

Saya perlahankan kelajuan, berhenti tepat sebelum memberi isyarat kelok kanan. Sekitar 12 orang semuanya. Yang paling kecil dua orang setahun dua usianya barangkali. Dan keduanya dikendong guru lelaki. 

Sebahagian anak² ini dipimpin guru lelaki tadi. Dan sebahagian berbaki dipimpin guru wanita yang penuh keibuan rias wajahnya. 

Saya ekori derap langkah mereka dengan pandangan mata. Terkenang sesuatu.. 

---
Beberapa bulan yang lalu, saya memberi ceramah pergigian dan latihan memberus gigi (LMG) kepada kelas pendidikan khas di sebuah sekolah nun pedalaman kampung. 

Saya kira suasana yang tidak asing, bila saya bercakap ada yang sampuk menyampuk - saya tidak meningkah dan saya cuba raikan. Hatta sehingga selepas habis LMG mereka masih mengerumuni saya bertanya itu ini ehwal gigi meskipun sudah ditanya dan dijawab berulang kali - saya tidak meningkah dan saya cuba raikan. Sehingga guru kelas seru memanggil, baru lah mereka bubar. 

"Maaf lah Dr., dengan kelakuan pelajar tadi", seorang guru pembantu jalan mengiringi. 

"Tak apa Cikgu. Saya ok je. Kagum saya dengan guru² PDK.. Pasti sangat ihsan dan sangat sabar". Saya puji setulusnya. 

Guru tadi tersenyum, "Iya betul, kami perlu ada rasa ihsan.. Sebab kadang ada dalam kalangan anak murid kami ni, orang tua nya sendiri tidak mahu peduli. Maka, kami lah yang perlu peduli." 

Terangkat dua kening saya, pandang tepat pada guru tersebut, 'like seriously, kenapa cikgu cakap gitu, depa ni dihantar sekolah mestila sebab parents depa care!'

Seakan mendengar gumam hati, guru mencuit lengan dan menunjukkan jari ke arah seorang pelajar. 

"Dr tengok budak tu, mak bapak lepas tangan dari lahir tinggalkan dengan mak cik nya. Tapi mak cik nya pun tak berkenan bela... Baju sampai seminggu tak bertukar. Datang tak mandi. Kami lah yang uruskan mandi, beri salinan baju ganti di kelas. Entah macam mana pula makan minum di rumah dia sebenarnya." 

Saya memandang hiba pelajar itu. 

---

Dan rasa itu bertandang kembali bila melihat anak² istimewa ini yang jalan berbaris-barisan sebentar tadi. 

Kita yang sering mengeluh atau rasa "tidak sempurna" kehidupan, wajar sisihkan keluhan seumpama itu. Kerana ternyata banyak yang perlu kita syukuri - walau cuma syukuri sejak lahir hingga hari ini aku sihat dan sejak lahir hingga hari ini aku masih ada yang peduli sayang. 

Percayalah pasti kita akan rasai sudah cukup sempurna kehidupan diri yang Tuhan beri. Maka nikmat mana lagi yang kita nak nafi? 

---

Sebaik sahaja parkir kereta di hadapan rumah, saya pasang mimpi : 

(Ya Allah aku nak kaya. Nak bantu anak² ummah terutama dari kalangan mereka yang kurang berkemampuan.. Bagi ruang pendidikan yuran murah supaya penjaga mereka tidak susah hati dan berkira² pendidikan anak, bagi mainan best² untuk anak² ni girang, bagi buku² best agar mereka teruja. Ya Allah,.. Meskipun yuran murah tapi aku boleh bayar gaji cikgu² yang berjiwa besar ni tinggi setimpal dengan kebaikan yang mereka curahkan dan semoga anak² cikgu ni teladani nanti mak/bapa mereka yang tidak lokek berkongsi sayang.) - 

Spontan.. Sebab mimpi kan percuma.

No comments: