Impaction of Wisdom – bentuk perlanggaran ketika pertumbuhan gigi bongsu |
Tempoh hari, sewaktu kelas Oral Surgery, pensyarah ajukan satu soalan :
Kenapakah impaction (perlanggaran/pertindanan) gigi berlaku ?
Hampir serentak seisi kelas menjawab :
because there is no space ; kerana tiada lagi ruang berikutan saiz rahang yang kecil tetapi gigi bongsu tetap erupt(tumbuh) – maka fenomena ini menjadi antara punca impaction of wisdom tooth iaitu gigi bongsu berlaga dengan gigi berhampirannya ketika pertumbuhan.
Pensyarah kami mengangguk, tetapi kemudian dia nyatakan faktor utama berlakunya fenomena ini adalah dari pembudayaan pemakanan kita kini.
Beliau membandingkan corak pemakanan generasi terdahulu yang mengamalkan pemakanan mentah berbanding generasi kita kini yang mengambil pemakanan yang sudah siap diproses.
Corak pemakanan generasi terdahulu membantu perkembangan rahang dan gigi yang kuat. Adapun kini, kebiasaan pengambilan makanan yang siap sedia diproses (bersifat mudah dan lembut dikunyah) telah membuatkan perkembangan tumbesaran rahang dan gigi kita tidak kuat.
Contoh, kita sarapan bijirin corn flakes yang lembut dan ditambah lagi makan bersama susu hingga corn flakeskembang. Alahai, betapa lembutnya pemakanan kita !
–
Kalau boleh diberi perumpamaan, maka seperti inikah sikap individu yang katanya mendokong risalah ?
Kita hidup di dalam era yang serba mudah. Penyampaian mesej dakwah dan peluang untuk mendapatkan pembinaan jati diri sangat terbuka luas dan cepat jika dibandingkan dengan generasi terdahulu daripada kita.
Menyoroti sirah nubuwwah dan para sahabat di dalam menegakkan Islam perlu melalui siri-siri penyiksaan, tekanan, merentas sahara dan memakan masa berbulan untuk akhirnya satu kelompok penduduk beriman kepada Allah.
Kepayahan yang mereka lalui akhirnya telah melahirkan generasi yang terbaik di dalam lipatan umat Muhammad SAW seperti mana yang Baginda sabdakan :
“Sebaik-baik manusia adalah generasiku ( para sahabat ) kemudian generasi berikutnya (tabi’in) kemudian generasi berikutnya ( tabiu’t tabi’in )” -Hadits Bukhari & Muslim
Ironinya kita, hidup dikelilingi kemudahan perhubungan komunikasi, pembelajaran dan media sosial – lebih cenderung ‘memilih’ untuk lesu dan melatah apabila kita ditolak jauh dalam dakwah dan tarbiyah.
Mengapa tidak dioptimumkan segala kemudahan terkini demi keberkesanan pembentukan jati diri yang kuat dan penyampaian fikrah Islam yang mantap ?
Kita mempunyai cita-cita yang murni tetapi kita kikir untuk korbankan rasa senang dan selesa dengan mengambil‘azimah (baca : merasa susah dan payah).
Akhirnya kita, kecairan himmah (kudrat kemahuan) jika memlilih ‘lesu’ berikutan kehidupan yang serba mudah. Sama seperti tumbesaran rahang dan gigi yang kurang daya tahan, berikutan dari faktor corak pemakanan.
–
“اخشوشنوا فإن النعم لا تدوم”” Bersusah-susahlah kalian,kerana sesungguhnya nikmat itu tidak akan kekal”
Andai kita sering mengambil sikap bertangguh untuk tingkatkan diri dan tidak serius dokong risalah dakwah, maka bandingkanlah dengan generasi terdahulu yang hidup serba payah tetapi menyahut seruan Allah dan Rasul-Nya dengan penuh kesungguhan.
Alasan apakah yang mahu dikemukakan kepada Allah SWT kelak diatas kelesuan diri ?
Penulis :
‘Atiqah Mohamed Ayob, Tahun 3 Pergigian Universiti Al-Azhar
‘Atiqah Mohamed Ayob, Tahun 3 Pergigian Universiti Al-Azhar
2 comments:
salam. akk,
'azimah = merasa susah payah?
bukan 'azimah tu mcm kemudahan atau rukhsah ye?
Izzati,
W3alaikumussalam. Rindunya ke nt !
'Azimah contradict dengan Rukhsah. Rukhsah bererti keringanan. 'Azimah yakni sesuatu yang besar/berat.
Post a Comment